Thursday, August 20, 2009

10 'K' dalam PERSAHABATAN



KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting sekali dalam sesebuah persahabatan. Ikatan sesebuah persahabatan akan mudah rapuh jika tiadanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Si Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu, kadang-kadang perlunya kita meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dengan mengungkap, "uhibbuka/i fillah" (bagi sahabat-sahabat yang sama jantina sahaja) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka, kerana Allah (insyaAllah). *


KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat kita, perlunya kita curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita, insyaAllah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka. *


KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Ilahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya. *


KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita setia terhadap kita, kita akan diingati oleh mereka sehingga akhir hayat mereka, kerana tidak kira susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan, insyaAllah. *


KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan juga, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, kita kena berani mengaku padanya atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu, berani juga dalam menasihati sahabat kita. kerana sebagai sahabat, kita mesti mahukan yang terbaik untuk mereka kan? *


KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalui dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan (hehehe). *


KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sebarang kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahan mereka terhadap kita kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika kita yang bersalah, janganlah malu untuk meminta maaf daripada mereka kerana orang yang dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat. *


KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka, ikutlah sedih bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Kerana tiada siapa yang akan mereka cari selain kita sahabat mereka. *


KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka jua. *


KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, "Kau cantik, aku mesti cantik," "Kau kaya, aku pun kena kaya". Tidak sama sekali. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun, dalam persahabatan keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman antara dua pihak. Apabila ada persefahaman, barulah hubungan kita dengan sahabat kita akan menjadi lebih baik dan akan berkurangnya pergaduhan disebabkan salah faham (hehehe).
Alhamdulillah, itulah dia 10 K yang dapat saya simpulkan mengenai persahabatan. Maaf kalau agak membosankan, namun saya tetap ingin berkongsi pendapat saya mengenai topik ini.

Wednesday, August 19, 2009

7 Perkara Yang Membuat Anda Bermotivasi Di Waktu Pagi


Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :


1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur. Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.
2. Tekad Bermotivasi. Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.
Di waktu awal pagi, jangan buka e-mail, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.
3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi. Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ini.
Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.
4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah. Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas beteri’ saja.
Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak buka buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.
Masuk saja e dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!
5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?
Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.
Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.
Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.
Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.
Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ini dlm bidang bisnes anda.
Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.
6. Lihat Warna Cerah boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.
Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!
Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.
7. Penuhkan Hati Dengan KemaafanLepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.
Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.
Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.
Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.


Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.
Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.



KUNCI KEJAYAAN...

Kadang-kala, di dalam perjalanan hidup yang berliku mengejar cita-cita, ada sahaja halangan dan dugaan yang mendatang. Diri mula terasa lemah, jiwa mula terasa gelisah, hati tidak tenang, fikiran menjadi tidak tentu arah. Namun, itu semua harus dilalui, kerana matlamat akhir, iaitu kejayaan yang ingin dimiliki. Diri ditarbiah, dimotivasikan untuk mendapatkan kembali semangat baru untuk bergerak maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Kegagalan silam dijadikan kunci kejayaan yang mendatang. Tetapi, mampukah semangat ini terus dinyalakan di dalam diri? Agar tidak padam seperti dahulu tatkala diri ditimpa dugaan sekali lagi.Ingatlah, jangan sesekali berputus asa. Jangan sesekali mensabotaj diri sendiri dengan mengatakan bahawa diri tidak mampu mengharungi dugaan-dugaan itu. Ingatlah, Allah S.W.T. tidak menurunkan sesuatu dugaan itu kepada hamba-hambanya jika hamba-hambanya tidak mampu menghadapinya. Antara salah satu kaedah atau tindakan yang boleh diambil untuk terus menyemarakkan api perjuangan di dalam diri adalah, dengan menjadi seorang insan yang istiqamah. “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan Tuhan kami adalah Allah, kemudian,mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tiada (pula) berduka cita.” ( Surah Al-Ahqaaf: 13) Latih diri dalam menjadi seorang yang insan yang istiqamah dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Kenali diri, sayangi diri, dan letakkan matlamat jangka panjang.

Antara cara-cara yang boleh dipraktikkan untuk menjadikan diri seorang insan yang istiqamah dan secara tidak langsung, lebih berjaya dan disayangi yang Maha Esa adalah:

1) Menjaga hubungan dengan Allah S.W.T Jagalah ibadat-ibadat wajib dan seelok-eloknya, perbanyakkanlah ibadat-ibadat sunat.
2) Masukkan matlamat di dalam doa Mohonlah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar.
3) Mulakanlah pekerjaan dengan berdoa bagi yang masih belajar, mulakan belajar dengan berdoa dan seelok-eloknya, duduk menghadap ke arah kiblat.
4) Berterusan dalam mencari ilmuHal ini kerana, ianya dapat memberi semangat kepada diri untuk terus berusaha.
5) Amalkanlah perkara-perkara yang dapat menarik hidayah Allah S.W.T Contohnya, solat berjemaah, membaca Al-Quran dan saling memaafkan sertakasih-mengasihi sesama manusia.
6) Kenali diri Ubah sikap-sikap yang negatif kepada positif.
7) Menolong insan lain untuk berjaya InsyaAllah, Allah akan pula menolong kita untuk berjaya. Allah akan menolong hamba-hambanya selagi mana hamba-hambanya menolong antara satu sama lain.
8) Iklankan matlamatTampal atau tulis matlamat tersebut dipapan kenyataan tempat belajar kita, agar dapat dibaca selalu, seterusnya dapat mengingatkan diri dan memberi semangat untuk kita terus berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.Allah sayang akan hamba-hambanya yang istiqamah di dalam pekerjaan. Janganlah berputus asa dengan rahmat Allah. “ Katakanlah, hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah..” (Surah Al-Zumar:53) Berusaha sebaik mungkin dan kemudian bertawakallah kepada-Nya. Istiqamah dalam pekerjaan dan berjuanglah selagi masih ada peluang yang diberikan. Kuatkan semangat. Apa yang penting adalah usaha dan tawakal, insyaAllah kejayaan yang dicari-cari selama ini mampu dimiliki.