Friday, August 28, 2009

Belajar Melatih Diri Untuk Sentiasa Bersangka Baik

Masalah, stress, tekanan, pergolakan jiwa semuanya datang dari minda kita.



Lebih tepat lagi, ia datang dari minda separa sedar kita kerana semua emosi adalah dari minda separa sedar. Minda kita mempunyai kapasiti untuk menarik masalah, stress, tekanan dan pergolakan datang kepada kita.


Sebabnya? Minda kita terbentuk menjadi negatif. Maka, ia menarik situasi-situasi negatif untuk dimunculkan dalam hidup kita. Kita berada dalam suasana negatif tanpa kita sedari kerana perbuatan-perbuatan negatif dah jadi satu kebiasaan pada kita.


Sesuatu perlu dilakukan untuk mengubahnya secara total, mengubahnya dengan penuh berkekalan, bukan sekadar sebulan dua sahaja. Jika minda kita ada kapasiti untuk menarik masalah, stress, tekanan dan pergolakan, minda juga boleh menarik kegembiraan, keceriaaan, kebahagiaan dan kedamaian untuk muncul dalam hidup kita.


Untuk itu, minda perlu dibentuk, diransang dan didorong menjadi positif.


Nak menjadi seorang yang cemerlang, anak cemerlang, ibu bapa cemerlang, terlebih dahulu kena ubah emosi menjadi cemerlang, menjadi warna positif kerana positif adalah sikap orang cemerlang. Silap ibu bapa adalah, mahu anak mereka cemerlang tapi tak menunjukkan sikap cemerlang di depan anak-anak.


Tak kira kita ni ibu bapa atau anak, sesuatu perlu dilakukan untuk kita merubah sikap. Positifkan diri supaya kita boleh mencapai kecemerlangan lalu membuat kita dikelilingi kegembiraan, kebahagiaan. Kesannya, dari situ kita boleh berumpa dengan pelbagai keajaiban. Kita akan berjumpa situasi-situasi menggembirakan, terjadi tanpa di sangka-sangka.


Jangan ambil remeh hal emosi, hal minda. Walaupun kedua-duanya hanya perkara kecil, tapi memberi kesan yang besar dalam hidup Anda. Belajar melatih diri untuk sentiasa bersangka baik, jujur dan mudah memberi maaf.

Bersangka baik sebaik yang mungkin, sekerap yang mungkin, selama yang mungkin.

Wednesday, August 26, 2009

SENAMAN-SENAMAN YANG MENYAMAI PERGERAKAN SOLAT.

Subhanallah, Maha Suci ALLAH yang mengetahui setiap suruhan dan laranganNya. Adakah anda sebagai seorang wanita pernah terfikir betapa banyak kelebihan-kelebihan yang terkandung dalam pergerakan solat yang dilakukan setiap hari? Percaya atau tidak setiap gerakan dalam solat telah mendahului kepercayaan orang tua-tua dalam memberi petua turun-temurun kepada generasi yang akan datang?

Mereka menemui bahawa gerakan yang dikenali sebagai senaman dapat mengekalkan kecantikan dalaman seorang wanita. Bahkan dari segi sains, solat dapat mengalirkan aliran darah dengan begitu sempurna. Di kesempatan ini, ana ingin berkongsi persamaan antara pergerakan solat dan pergerakan senaman dari petua orang dahulu kala. Kebesaran dan kebijaksanaan ALLAH perlu dikaji oleh setiap insan kerana ada sebab dan musabab kenapa ALLAH menjadikan begini? kenapa tidak begitu? begitu mengapa tidak begini?


Ada sedikit ilmu yang ana ingin kongsikan bersama setiap insan yang bergelar hawa yang bakal melahirkan pejuang-pejuang islam yang bakal menegakkan AGAMA ISLAM dimuka bumi.


1. Faedah Halus Pandangan:




Menurut petua orang tua-tua Melayu, senaman mata ini mengelakkan diri anda dari mudah pusing mata dan dapat menajamkan fokus mata.


Gerakan: Apabila terjaga dari tidur, pejamkan kedua mata. Baring terlentang dalam keadaan santai tenang. Gerakkan bola mata seolah-olah anda memandang ke arah kepala anda, kaki, kiri dan kanan. Kemudian pusingkan bola mata itu mengikut arah jarum jam. Ulangi perkara yang sama tapi kali ini melawan arah jarum jam.


Perasan atau tidak kedudukan itu sama seperti kedudukan kita sewaktu berdiri tegak mengadap ALLAH. Cuma dalam senaman ini kita berada dalam keadaan berbaring. Manakala mata kita sama gerakan seperti memberi salam ke kanan dan kiri dalam solat.



2.Faedah Angin Tunggal:


Gerakan ini membantu mengeluarkan angin dari dalam perut, mengurut dan menyengkak rahim serta menyempitkan anggota sulit wanita.


Gerakan: Baring terlentang, lunjurkan kedua-dua kaki. Tarik nafas. Kemudian angkat kaki kanan lurus ke udara. Bengkokkan lutut anda dan bawa ia ke arah dada sambil anda lepaskan nafas. Selepas itu, dalam keadaan nafas biasa, paut lutut yang dibengkokkan menggunakan kedua-dua tangan anda ke arah dada dan tahankan posisi ini selama 7 saat. Tukar kaki dan ulangi proses yang sama.


Keadaan ini sama seperti kedudukan sewaktu kita sujud mengadap ALLAH,ada sebab mengapa sujud yang panjang didalam solat itu lebih baik berbanding dari tergopoh gapah.



3. Faedah Angin Kembar:


Membantu mengeluarkan angin serta mengurut pinggul serta merampingkan pinggang wanita. Gerakan: Baring terlentang. Angkat kedua-dua kaki anda tegak ke udara. Tarik nafas. Kemudian bengkokkan kedua-dua lutut anda itu ke dada sambil lepaskan nafas. Dalam keadaan nafas biasa pula, pautlah kedua lutut itu ke arah dada dengan kedua-dua tangan anda. Tahankan posisi ini selama 7 saat.


Sewaktu mengangkat kedua-dua kaki ke atas keadaan ini pula hampir menyamai kedudukan sewaktu rukuk di dalam solat,kemudian apabila kaki dibengkokkan ke dada itu sama seperti kedudukan kita bangun daripada rukuk dan terus sujud.


Semoga apa yang ana kongsikan ini sedikit sebanyak menyedarkan kita bahawa pemikiran manusia dan sains sebenarnya telah dikabarkan oleh ALLAH TAALA dalam 'bahasa indahnya' kepada semua manusia. Terpulang kepada manusia samada akal yang ALLAH kurniakan ini digunakan ke arah kebaikan atau keburukan. Wallahu' alam.


p/s :

- Allah menerangkan di dalam al-quran bahawa manusia sentiasa dihinggapi rasa gelisah, bakhil dan sifat keji yang lain. Solat adalah satu cara untuk menghilangkan sifat-sifat keji ini. Firman Allah SWT yang bermaksud ;
Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiatkan resah gelisah(lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.


(al-Ma'arij 19-23)





Thursday, August 20, 2009

10 'K' dalam PERSAHABATAN



KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting sekali dalam sesebuah persahabatan. Ikatan sesebuah persahabatan akan mudah rapuh jika tiadanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Si Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu, kadang-kadang perlunya kita meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dengan mengungkap, "uhibbuka/i fillah" (bagi sahabat-sahabat yang sama jantina sahaja) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka, kerana Allah (insyaAllah). *


KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat kita, perlunya kita curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita, insyaAllah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka. *


KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Ilahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya. *


KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita setia terhadap kita, kita akan diingati oleh mereka sehingga akhir hayat mereka, kerana tidak kira susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan, insyaAllah. *


KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan juga, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, kita kena berani mengaku padanya atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu, berani juga dalam menasihati sahabat kita. kerana sebagai sahabat, kita mesti mahukan yang terbaik untuk mereka kan? *


KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalui dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan (hehehe). *


KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sebarang kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahan mereka terhadap kita kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika kita yang bersalah, janganlah malu untuk meminta maaf daripada mereka kerana orang yang dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat. *


KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka, ikutlah sedih bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Kerana tiada siapa yang akan mereka cari selain kita sahabat mereka. *


KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka jua. *


KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, "Kau cantik, aku mesti cantik," "Kau kaya, aku pun kena kaya". Tidak sama sekali. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun, dalam persahabatan keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman antara dua pihak. Apabila ada persefahaman, barulah hubungan kita dengan sahabat kita akan menjadi lebih baik dan akan berkurangnya pergaduhan disebabkan salah faham (hehehe).
Alhamdulillah, itulah dia 10 K yang dapat saya simpulkan mengenai persahabatan. Maaf kalau agak membosankan, namun saya tetap ingin berkongsi pendapat saya mengenai topik ini.

Wednesday, August 19, 2009

7 Perkara Yang Membuat Anda Bermotivasi Di Waktu Pagi


Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :


1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur. Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.
2. Tekad Bermotivasi. Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.
Di waktu awal pagi, jangan buka e-mail, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.
3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi. Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ini.
Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.
4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah. Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas beteri’ saja.
Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak buka buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.
Masuk saja e dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!
5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?
Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.
Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.
Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.
Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.
Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ini dlm bidang bisnes anda.
Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.
6. Lihat Warna Cerah boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.
Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!
Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.
7. Penuhkan Hati Dengan KemaafanLepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.
Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.
Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.
Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.


Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.
Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.



KUNCI KEJAYAAN...

Kadang-kala, di dalam perjalanan hidup yang berliku mengejar cita-cita, ada sahaja halangan dan dugaan yang mendatang. Diri mula terasa lemah, jiwa mula terasa gelisah, hati tidak tenang, fikiran menjadi tidak tentu arah. Namun, itu semua harus dilalui, kerana matlamat akhir, iaitu kejayaan yang ingin dimiliki. Diri ditarbiah, dimotivasikan untuk mendapatkan kembali semangat baru untuk bergerak maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Kegagalan silam dijadikan kunci kejayaan yang mendatang. Tetapi, mampukah semangat ini terus dinyalakan di dalam diri? Agar tidak padam seperti dahulu tatkala diri ditimpa dugaan sekali lagi.Ingatlah, jangan sesekali berputus asa. Jangan sesekali mensabotaj diri sendiri dengan mengatakan bahawa diri tidak mampu mengharungi dugaan-dugaan itu. Ingatlah, Allah S.W.T. tidak menurunkan sesuatu dugaan itu kepada hamba-hambanya jika hamba-hambanya tidak mampu menghadapinya. Antara salah satu kaedah atau tindakan yang boleh diambil untuk terus menyemarakkan api perjuangan di dalam diri adalah, dengan menjadi seorang insan yang istiqamah. “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan Tuhan kami adalah Allah, kemudian,mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tiada (pula) berduka cita.” ( Surah Al-Ahqaaf: 13) Latih diri dalam menjadi seorang yang insan yang istiqamah dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Kenali diri, sayangi diri, dan letakkan matlamat jangka panjang.

Antara cara-cara yang boleh dipraktikkan untuk menjadikan diri seorang insan yang istiqamah dan secara tidak langsung, lebih berjaya dan disayangi yang Maha Esa adalah:

1) Menjaga hubungan dengan Allah S.W.T Jagalah ibadat-ibadat wajib dan seelok-eloknya, perbanyakkanlah ibadat-ibadat sunat.
2) Masukkan matlamat di dalam doa Mohonlah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar.
3) Mulakanlah pekerjaan dengan berdoa bagi yang masih belajar, mulakan belajar dengan berdoa dan seelok-eloknya, duduk menghadap ke arah kiblat.
4) Berterusan dalam mencari ilmuHal ini kerana, ianya dapat memberi semangat kepada diri untuk terus berusaha.
5) Amalkanlah perkara-perkara yang dapat menarik hidayah Allah S.W.T Contohnya, solat berjemaah, membaca Al-Quran dan saling memaafkan sertakasih-mengasihi sesama manusia.
6) Kenali diri Ubah sikap-sikap yang negatif kepada positif.
7) Menolong insan lain untuk berjaya InsyaAllah, Allah akan pula menolong kita untuk berjaya. Allah akan menolong hamba-hambanya selagi mana hamba-hambanya menolong antara satu sama lain.
8) Iklankan matlamatTampal atau tulis matlamat tersebut dipapan kenyataan tempat belajar kita, agar dapat dibaca selalu, seterusnya dapat mengingatkan diri dan memberi semangat untuk kita terus berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.Allah sayang akan hamba-hambanya yang istiqamah di dalam pekerjaan. Janganlah berputus asa dengan rahmat Allah. “ Katakanlah, hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah..” (Surah Al-Zumar:53) Berusaha sebaik mungkin dan kemudian bertawakallah kepada-Nya. Istiqamah dalam pekerjaan dan berjuanglah selagi masih ada peluang yang diberikan. Kuatkan semangat. Apa yang penting adalah usaha dan tawakal, insyaAllah kejayaan yang dicari-cari selama ini mampu dimiliki.